Jumaat, 23 Disember 2011

HIV/AIDS Kini Meningkat Melalui Aktiviti Seks


Cara jangkitan berpunca daripada perkongsian jarum suntikan kepada melalui aktiviti seks tidak selamat menyebabkan bilangan mereka yang menghidap HIV/AIDS di Malaysia meningkat, kata Presiden Majlis AIDS Malaysia, Tan Sri Mohd Zaman Rahim Khan. Beliau berkata perubahan itu memberi kesan besar dalam usaha kerajaan membendung masalah jangkitan HIV dan AIDS kerana meletakkan wanita sebagai kumpulan sasar yang terdedah kepada penyakit tersebut.

Sebagai bukti, bilangan wanita yang dijangkiti HIV semenjak 10 tahun lalu berganda tiga kali dengan nisbah 1.2 peratus pada 1990 kepada 9.4 peratus di tahun 2000. Mohd Zaman berkata sehingga Dis 2009 seramai 9,891 orang didapati menghidap HIV dan AIDS di Malaysia terutama melalui hubungan seksual seperti heteroseksual, homoseksual dan transeksual yang mencatat 48.7 peratus melepasi jangkitan akibat penggunaan dadah melalui suntikan iaitu sebanyak 47.4 peratus.

Jangkitan secara vertikal terus meningkat sebanyak 1.2 peratus atau 40 kes di mana 13 daripada kes berlaku di kalangan kanak-kanak bawah umur dua tahun. Kelantan mencatat kadar penghidap HIV tertinggi dalam negara, iaitu pada 2010 sebanyak 28.8 kes untuk setiap 100,000 penduduk, dua kali ganda tingginya berbanding kadar kebangsaan 12.9 kes.

Kematian akibat HIV dan AIDS tahun lepas di Kelantan mencatat bilangan tertinggi iaitu seramai 156 orang. Diikuti Selangor 144 kes, Pahang (96), Johor (94), Perak (73), Terengganu (71), Kuala Lumpur (57) dan Kedah 55 kes. Negeri-negeri lain seperti Perlis sebanyak 11 kes, Pulau Pinang (21), Negeri Sembilan (33 ), Melaka (29 ) dan Sabah sebanyak 25 kes.

Tiada ulasan: