
PASUKAN keselamatan mengusung mayat Muhammad Nazhif yang
maut selepas diseret sejauh 50 meter oleh sebuah treler dalam kemalangan
di Melaka.
MELAKA – Seorang pelajar menemui ajal dalam keadaan mengerikan
apabila dia digilis dan diseret sejauh 50 meter oleh sebuah treler
membawa muatan jubin dalam kemalangan di Lebuh Ayer Keroh berhampiran
Hospital Pantai di sini kelmarin.
Kejadian pukul 10 malam itu mengakibatkan Muhammad Nazhif Sharif, 17, (gambar) mati di tempat kejadian.
Jurucakap polis berkata, sebelum kejadian, mangsa dalam perjalanan ke pusat bandar untuk membeli baju raya di Ayer Keroh.
“Sejurus tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang
kawalan lalu melanggar belakang sebuah kereta Proton Wira sehingga
menyebabkan mangsa terjatuh.
“Pada masa sama, sebuah treler yang berada di belakang menyambar
tubuh mangsa lalu diseret sejauh 50 meter sebelum kenderaan berat itu
berhenti,” katanya.
Sementara itu, mengimbau semula tragedi itu, rakan mangsa, Ng Kok
Leng, 16, berkata, sebelum kejadian dia dan dua rakan termasuk mangsa
baru pulang dari sebuah pasar raya.
Katanya, mangsa kemudian mengajak mereka ke Bazar di Taman Cempaka,
Peringgit untuk mencari baju raya selepas pakaian di pasar raya itu
tidak berkenan di hatinya. Jarak antara dua tempat itu kira-kira lima
kilometer.





