Jumaat, 21 Oktober 2011

Lima lelaki menyamar polis larikan muatan getah beku bernilai RM300,000


Lima lelaki yang menyamar sebagai anggota polis melarikan sebuah lori memuatkan getah beku bernilai RM300,000 dalam kejadian samun di sebatang jalan di Kawasan Perindustrian Benus, Bentong, semalam. Pegawai Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ASP Noor Asyikin Shamsuri berkata kejadian berlaku kira-kira 2.40 pagi ketika lori itu dalam perjalanan dari Kelantan ke Jelebu, Negeri Sembilan.

Lori tersebut diberhentikan di tepi jalan kerana pemandunya mahu membuang air kecil. Tidak lama kemudian sebuah kereta Proton Waja berhenti di depan lori itu sebelum dua lelaki keluar dan mengaku mereka polis serta berpura-pura hendak memeriksa air kencing mangsa. Salah seorang daripada suspek kemudian meletakkan pisau di leher pemandu lori itu serta memaksanya masuk ke dalam kereta terbabit di mana terdapat tiga lagi lelaki.

Dua daripada suspek kemudian ditinggalkan bersama kelindan berusia 30an itu, manakala pemandu lori berusia 41 tahun tersebut dibawa dengan kereta menuju ke Karak. Suspek bagaimanapun berpatah balik selepas mendapati ada sekatan jalan raya sebelum menuju ke Jalan Lama Gombak-Genting Highlands dan meninggalkan mangsa di Km 16 jalan berkenaan.

Rabu, 12 Oktober 2011

Klon Osama Nak Saman FBI

Gaspar Llamazares (kiri) dan Osama bin Laden

Seorang ahli parlimen Sepanyol berikrar menyaman Biro Siasatan Persekutuan (FBI) kerana menggunakan wajahnya bagi menghasilkan imej yang diubah suai secara digital menjadi pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden yang mati dibunuh komando Amerika Syarikat beberapa bulan lalu.

Skandal pengubahsuaian gambar secara digital itu membabitkan Gaspar Llamazares, yang terbongkar pada Januari tahun lalu apabila gambar beliau digunakan untuk mencipta imej Osama menggunakan komputer, ketika pemimpin itu diburu tentera Amerika sebelum dikesan di Pakistan.

Khamis, 6 Oktober 2011

Pengasas Apple Meninggal Dunia


Pengasas Apple meninggal dunia: Gambar fail menunjukkan Ketua Eksekutif Apple, Steve Jobs tersenyum ketika melancarkan model baru iPhone di San Francisco pada 7 Jun tahun lalu. Apple dalam satu kenyataan ringkas hari ini mengumumkan Jobs meninggal dunia pada umur 56 tahun. Jobs bergelut dengan penyakit kanser sejak 2004