Ahad, 8 Januari 2012

Jay Jamalina Minta Maaf Insiden Tersasul


Pembaca berita Buletin Utama TV3, Jay Jamalina dengan pantas meminta maaf secara terbuka melalui laman sosial Twitter miliknya selepas tersasul menyebut nama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Menurut Jay yang juga merupakan laporan berita setiap jam dan laporan trafik terkini di Hot FM, dia benar-benar tidak sengaja untuk tersasul ketika berniat untuk menyebut nama Datuk Seri Najib Tun Razak dan tersebut pula nama Anwar.

“I would like to apologize for the slip during Buletin Utama just now. It was complete slip-of-the-tounge. Tidak disengajakan. (Saya ingin memohon maaf kerana tersasul ketika Buletin Utama tadi. Ia memang benar-benar tersasul. Tidak disengajakan.),” katanya di laman twitter tersebut. Dalam siaran Buletin Utama yang disiarkan secara langsung semalam, Jay Jamalina melaporkan tentang lawatan kerja Najib ke Johannesburg, Afrika Selatan, bagi meningkatkan hubungan dua hala antara kedua negara yang dijangka mampu meningkatkan jumlah pelaburan pada tahun ini. Insiden tersasul itu dikatakan berlaku memandangkan Jay Jamalina atau nama sebenarnya Nur Jamalina Mohd Jamali, sebelum itu telah berkali-kali menyebut nama Anwar pada laporan-laporan berita berhubung keputusan kes liwat Ketua Pembangkang itu yang akan diketahui esok.





Beberapa blog politik tempatan seperti MatKilauPenang.blogspot.com dan Belogfadah.blogspot.com yang turut menghangatkan insiden yang tidak disengajakan itu meminta agar tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap pembaca berita tersebut ekoran permohonan maaf darinya. Nur Jamalina sudah bertugas lebih lima tahun bersama Media Prima Networks (Media Prima), dan selain dikenali sebagai penyampai berita Hot FM, dia juga popular menerusi segmen Berita Pagi, Buletin 1.30 serta pernah dicalonkan bagi kategori Ulasan Berita Radio Terbaik Anugerah Seri Angkasa 2010.

Difahamkan bahawa adalah menjadi lumrah bagi penyampai-penyampai berita di kaca televisyen yang dilakukan secara langsung untuk tersasul ketika membaca berita dan insiden ini dipercayai adalah salah satu yang menjadi perbuatan hangat di kalangan rakyat negara ini kerana melibatkan nama Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang.

Sabtu, 24 Disember 2011

Mati Lepas Alat Kelamin Putus Digigit Tikus


Seorang pesakit radang paru-paru atau pneumonia dipercayai mengalami pendarahan teruk sehingga maut akibat alat kelamin lelakinya putus digigit tikus di sebuah hospital kerajaan di Kolkata, demikian menurut laporan sebuah media tempatan. Kejadian menakutkan itu berlaku di Hospital SSKM semalam ke atas Arun Sandhukh, 53, semasa dia menerima rawatan kerana penyakitnya itu, kata akhbar Asian Age.

Pihak berkuasa hospital berkenaan mengakui banyak tikus berkeliaran dalam wad namun enggan mengulas lebih lanjut mengenai kejadian tersebut. “Tidak seorangpun jururawat berada bersama pesakit yang mengerang kesakitan. Alat kemaluan lelakinya putus digigit tikus,” kata seorang saudara kepada lelaki malang itu yang hanya dikenali sebagai Bishwanath kepada pemberita. Ahli keluarga mangsa yang datang melawat menemui Arun mati berlumuran darah, kata laporan itu. Kejadian malang di hospital yang tidak cukup kelengkapan dan sesak dengan pesakit di Kolkata, ibu negeri Bengala Barat itu telah menarik tumpuan media beberapa minggu kebelakangan ini.

Pada Sabtu lepas, seorang pekerja pembersih hospital yang pemabuk di Kolej Perubatan Calcutta dilaporkan telah mencabut topeng oksigen seorang bayi yang berusia tiga minggu mengakibatkan kematiannya. Dalam satu lagi tragedi malang di sebuah hospital swasta juga di Kolkata, pada 9 Dis lepas, lebih 90 orang mati lemas terhidu asap dalam satu kebakaran di bangunan hospital tersebut.

Jumaat, 23 Disember 2011

HIV/AIDS Kini Meningkat Melalui Aktiviti Seks


Cara jangkitan berpunca daripada perkongsian jarum suntikan kepada melalui aktiviti seks tidak selamat menyebabkan bilangan mereka yang menghidap HIV/AIDS di Malaysia meningkat, kata Presiden Majlis AIDS Malaysia, Tan Sri Mohd Zaman Rahim Khan. Beliau berkata perubahan itu memberi kesan besar dalam usaha kerajaan membendung masalah jangkitan HIV dan AIDS kerana meletakkan wanita sebagai kumpulan sasar yang terdedah kepada penyakit tersebut.

Sebagai bukti, bilangan wanita yang dijangkiti HIV semenjak 10 tahun lalu berganda tiga kali dengan nisbah 1.2 peratus pada 1990 kepada 9.4 peratus di tahun 2000. Mohd Zaman berkata sehingga Dis 2009 seramai 9,891 orang didapati menghidap HIV dan AIDS di Malaysia terutama melalui hubungan seksual seperti heteroseksual, homoseksual dan transeksual yang mencatat 48.7 peratus melepasi jangkitan akibat penggunaan dadah melalui suntikan iaitu sebanyak 47.4 peratus.

Jangkitan secara vertikal terus meningkat sebanyak 1.2 peratus atau 40 kes di mana 13 daripada kes berlaku di kalangan kanak-kanak bawah umur dua tahun. Kelantan mencatat kadar penghidap HIV tertinggi dalam negara, iaitu pada 2010 sebanyak 28.8 kes untuk setiap 100,000 penduduk, dua kali ganda tingginya berbanding kadar kebangsaan 12.9 kes.

Kematian akibat HIV dan AIDS tahun lepas di Kelantan mencatat bilangan tertinggi iaitu seramai 156 orang. Diikuti Selangor 144 kes, Pahang (96), Johor (94), Perak (73), Terengganu (71), Kuala Lumpur (57) dan Kedah 55 kes. Negeri-negeri lain seperti Perlis sebanyak 11 kes, Pulau Pinang (21), Negeri Sembilan (33 ), Melaka (29 ) dan Sabah sebanyak 25 kes.